KANGAR - Seberat 270 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM21,000 ditemukan dalam sampan kayu di hutan bakau di kawasan Kuala Perlis di sini, pada Ahad.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kassim berkata, semua rampasan barang tanpa tuan (RBTT) itu dirampas di Pesisir Pantai Kuala Perlis kira-kira jam 5.30 pagi.
Iklan
Iklan
"Hasil pemeriksaan pasukan operasi mendapati sebuah sampan kayu yang dimuatkan dengan bungkusan plastik hitam (berisi daun ketum) ditinggalkan berhampiran hutan bakau.
"Pasukan operasi membuat pemerhatian terhadap barang rampasan tersebut di tempat kejadian selama lebih satu jam dan tiada sesiapa yang hadir.
"Susulan itu, kesemua 27 bungkusan plastik daun ketum beserta sampan kayu dan enjin dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM28,600 dibawa balik ke pangkalan untuk urusan pendokumentasian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Shamsol Kassim, kesemua barang rampasan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kangar dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Tambahnya, daun ketum itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand.