KUALA LUMPUR - Tiga premis hiburan di Jalan Telawi di Bangsar diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diarah tutup kerana melanggar syarat lesen.
Unit Media DBKL dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga premis tersebut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 menerusi tindakan khas yang dijalankan pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) akta sama turut dibuka kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik) tanpa kebenaran.
"Sebanyak 10 peralatan muzik termasuk komputer riba, mixer, equalizer, monitor dan sistem kawalan bunyi disita dan dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi aktiviti tersebut akan diteruskan dari masa ke masa.