Sambil niaga buah, sedia makanan untuk 'geng plastik hitam'

Iklan
Pemeriksaan mendapati sebuah gerai menjual buah-buahan menyediakan nasi bungkus dan air untuk 'geng plastik hitam' ketika serbuan dilakukan.

SUNGAI PETANI - Sambil berniaga buah-buahan rupanya seorang peniaga menyediakan makanan kepada individu tidak puasa atau lebih popular digelar 'geng plastik hitam' oleh masyarakat susulan bulan Ramadan.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, peniaga itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa bagaimanapun perbuatannya tetap berjaya dikesan oleh anggota penguat kuasa yang kemudian menyerbu gerai buah miliknya itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada jam kira-kira 11.30 pagi Selasa mendapati terdapat makanan dan minuman yang sudah siap dibungkus untuk diambil pelanggan di gerai tersebut.

Hakimin (kanan) menunjukkan makanan dan minuman siap dibungkus ketika pemeriksaan dibuat di sebuah gerai buah-buahan.

"Temu bual dengan peniaga itu mengaku, makanan ditempah adalah untuk pekerja di sebuah tapak kuari di Yan, Kedah," katanya.

Iklan

Menurut Mohd Noor Ismardi, operasi itu membabitkan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah; Pejabat Agama Daerah Kuala Muda; Cawangan Penyiasatan Khas dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang diketuai Penolong Pegawai Agama Daerah Kuala Muda Syeikh Hakimin Hassan itu bermula kira-kira 10.30 pagi di sekitar Sungai Petani, Bedong, Gurun, Tupah dan Ambangan Heights.

"Sebelum itu, pemeriksaan dilakukan di sebuah gerai makan di Gurun, Kedah berdasarkan aduan orang awam dan hasil risikan pihak berkuasa.

Iklan

"Dua lelaki yang menaiki sebuah teksi dilihat berhenti di hadapan kedai sebelum memecut kenderaan setelah menyedari dihampiri penguat kuasa.

"Pemeriksaan di premis terbabit pula mendapati kira-kira lebih 100 bungkus makanan dan minuman siap dibungkus untuk dibeli pelanggan," katanya.

Menurut Mohd Noor, pemeriksaan seterusnya ke sebuah kedai makan di Ambangan Heights kira-kira jam 11.50 pagi mendapati lebih 20 menu siap disediakan.

Katanya, seorang peniaga yang ditemui turut mengakui sebelum ini terjejas pendapatan dan mengambil kesempatan berniaga ketika Ramadan.

"Saya berjanji ini hari terakhir saya berniaga. Selepas ini saya tidak mahu berniaga lagi pada bulan Ramadan," katanya.

Kesemua mereka diberi amaran supaya tidak melanggar undang-undang ditetapkan.

Menurut Mohd Noor Ismardi, mana-mana individu yang didapati melanggar Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 iaitu makan di tempat terbuka boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu dalam operasi sama, sebanyak tiga kompaun dikeluarkan MPSPK mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana gagal untuk mematuhi arahan atau perintah yang dikeluarkan MPSPK dalam tempoh ditetapkan kerana berniaga sebelum jam 3 petang.

Makanan dan minuman yang dijual turut dirampas.