Pematuhan SOP di bazar Ramadan kurang memuaskan

Iklan
Mior Faridalathrash bersama wakil ketua rumah ibadat yang hadir dalam Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Persatuan-persatuan Rumah Ibadat Perak di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Ipoh pada Selasa.

IPOH - Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka dan mengimbas kod QR MySejahtera di bazar Ramadan di seluruh negeri ini masih kurang memuaskan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemantauan yang dilakukan di beberapa bazar di sekitar ibu negeri mendapati, orang ramai masih sukar mematuhi dan mengamalkan ketetapan itu meskipun mereka berada di kawasan sesak.

Iklan
Iklan

"Saya pergi sendiri ke beberapa bazar Ramadan di sekitar Ipoh dan saya dapati orang ramai sudah mula leka dan cuai.

"Banyak pelanggaran SOP dikesan bukan sahaja membabitkan pengunjung tetapi peniaga juga, apabila sedang berurusan, mereka tidak memakai pelitup muka dengan betul, hanya meletakkan di dagu.

Iklan

"Walaupun di laluan masuk bazar diletakkan QR kod, tetapi tiada siapa yang scan pun, jadi di situ kita nampak pematuhan SOP kurang memuaskan," katanya dalam sidang akhbar sempena Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Persatuan-persatuan Rumah Ibadat Perak di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perak, Mansor Mohd Hashim.

Iklan
Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama Persatuan-persatuan Rumah Ibadat Perak di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Ipoh pada Selasa.

Mior Faridalathrash berkata, pemeriksaan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan di kawasan bazar Ramadan di seluruh negeri dalam masa terdekat bagi memastikan semua pihak mematuhi ketetapan dibuat.

Langkah itu katanya, bagi menyedarkan kembali orang ramai akan tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

"Selepas ini kita akan turun melaksanakan penguatkuasaan. Kita kena terima hakikat yang Covid-19 masih ada lagi dengan kita walaupun sudah memasuki ke fasa peralihan endemik," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan menempatkan seorang pegawai di setiap 1,375 rumah ibadat di seluruh negeri ini bertujuan meningkatkan interaksi masyarakat dalam menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

Jelasnya, pelaksanaan program itu hasil impak positif daripada program 1 Masjid 1 Pegawai Polis (1M1P) yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2019 lalu.

"Kita akan laksanakan secara berperingkat dan berterusan. Sebagai langkah awal saya telah meminta ketua polis daerah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua rumah ibadat di kawasan masing-masing bagi membincangkan perkara itu supaya dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Berdasarkan statistik tahun lalu, terdapat 21 kes jenayah dilaporkan membabitkan rumah ibadat, meskipun angka itu kecil, namun jika tidak dibendung dikhuatiri mengundang kepada jenayah lebih serius," katanya.