Ini penggal terakhir saya jadi Ahli Parlimen - Nurul Izzah

Iklan
Nurul Izzah

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mendedahkan hasratnya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat untuk tempoh sepenggal sahaja.

Menurut laporan yang dipetik daripada Straits Times Singapura, anak perempuan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kecewa dengan pentadbiran PH yang dilihat terlalu perlahan untuk melaksanakan perubahan dasar dan reformasi.

Iklan
Iklan

"Saya katakan bahawa ini adalah penggal saya yang terakhir. Ini rancangan saya sekarang," katanya.

Semalam, Nurul Izzah mengambil keputusan mengejutkan apabila meletakkan jawatannya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Iklan

Beliau dikatakan membuat keputusan berkenaan disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepimpinan PAC.

Hal tersebut berlaku selepas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Iklan

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut melahirkan kekecewaan terhadap obsesi kerajaan PH terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tidak memberi fokus terhadap isu sebenar.

Katanya, isu 1MDB hanya boleh digunakan buat sementara kerana selepas isu tersebut orang ramai mahukan keselesaan dan penambahbaikan dalam kehidupan seharian mereka.

Selain itu, beliau turut kecewa terhadap ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyertai PH secara beramai-ramai.

"Kita perlukan pembangkang yang kuat. Ini adalah situasi yang menyedihkan kerana saya percaya sistem dua parti penting untuk masa depan Malaysia," ujarnya.

Pada Disember lalu, Nurul Izzah juga pernah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR termasuk jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang dan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia.