KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan pada Selasa mengemukakan bantahan berhubung maklumat yang dibuat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.
Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette berkata, aduan yang dibuat oleh Penguasa Kanan SPRM Mohd Haris Ibrahim, 42, yang merupakan saksi pendakwaan ke-27 itu bersifat dengar cakap dan boleh memprejudiskan Bung Moktar.
Menurut peguam itu aduan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat.
"Pihak pendakwaan cuba menggunakan 'pintu belakang' agar laporan itu diterima masuk oleh mahkamah sebagai keterangan walhal tiada pihak yang tampil membuat aduan," katanya.
Sementara itu, peguam M Athimulan yang mewakili Bung Moktar berkata, laporan itu tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan kerana tiada sesiapa pun yang membuat laporan kepada mana-mana pegawai SPRM.
Terdahulu Mohd Haris, yang merupakan saksi pendakwaan terakhir dalam keterangannya berkata pada 9 Jun 2016 beliau menerima arahan daripada seorang pegawai atasan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menulis aduan berkaitan satu kes.Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How bagaimanapun berkat,a aduan yang diterima daripada pegawai atasan itu dikategorikan sebagai FIR bagi membolehkan siasatan dimulakan.
"Ini merupakan sebahagian permulaan kepada siasatan bukan bersandar pada aduan dalam laporan itu untuk membuktikan pendakwaan," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria pula berkata, untuk kesalahan SPRM, pemberi maklumat dilindungi kerana kesalahan di bawah SPRM adalah kesalahan yang istimewa dan tatacara dalam membuat laporan bagi kesalahan SPRM adalah berbeza dengan kes jenayah lain.
Menurutnya, Seksyen 29(1) Akta SPRM 2009 menyatakan aduan boleh dikemukakan kepada pegawai SPRM secara lisan atau bertulis dan jika aduan dibuat secara lisan, aduan itu perlu diubah dalam bentuk bertulis dan dibacakan kepada pihak yang membuat aduan.
"Mahkamah tidak boleh menyamakan tatacara itu dengan siasatan kes-kes lain kerana SPRM melindungi pemberi maklumat. Mana-mana pegawai SPRM perlu membuat aduan jika menerima sebarang maklumat berkaitan kes rasuah namun nama pemberi maklumat tidak dinyatakan,'' kata Mohd Sophian.Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob kemudian mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis pada 20 April ini sebelum beliau membuat keputusan bantahan itu pada 22 April.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.- Bernama