TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terletak dalam wilayah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan dikenali sebagai Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART).
Beliau berkata, cadangan itu bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan dan juga penyelidikan dalam bidang automotif negara.
"Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia serta penyelenggaraan berkaitan dengan teknologi automotif terkini.
"Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV ini dapat dilestarikan secara produktif,” katanya dalam ucapan pelancaran AHTV di sini pada Selasa.
Selain itu Ismail Sabri berkata, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan pembangunan dan penyelidikan bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.
Jelasnya, secara tidak langsung, pembangunan pusat latihan berkenaan dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir.
Perdana Menteri berkata, usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik adalah selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
"Kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.
"Insya-Allah, dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya,” kata beliau. - Bernama