PETALING JAYA - Pemberian lesen bank digital kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dilihat mampu membawa semangat baharu dan membantu sektor koperasi negara terus berkembang.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kementerian itu menyokong penuh hasrat Angkasa untuk memperoleh lesen tersebut daripada Bank Negara Malaysia (BNM) seterusnya menawarkan produk perbankan secara digital kepada pelanggan.
"Kita berharap BNM yang mengeluarkan lesen bank digital akan dapat pertimbangkan (permohonan) kerana saya dimaklumkan bahawa Angkasa antara (pemohon) yang ada memohon untuk mulakan bank digital.
"Jika Angkasa dapat diberikan lesen (bank) digital, ini menunjukkan Angkasa yang mewakili koperasi membawa semangat baharu kepada gerakan koperasi di negara kita dan terus berkembang,” katanya selepas majlis berbuka puasa sempena sambutan Jubli Emas Angkasa dan sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad dan Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Sebelum ini dilaporkan Angkasa dengan kerjasama Boustead Holding Berhad akan menubuhkan MyAngkasa Digital Services untuk mendapatkan lesen perbankan Islam digital daripada BNM.Abdul Fattah berkata, bank digital itu akan tertumpu kepada segmen pasaran B40, koperasi dan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan mereka menjadi pasaran terbesar dalam ekonomi digital.
Pada 30 Mac lepas, Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pengumuman mengenai pemenang lesen bank digital akan dibuat dalam masa terdekat selepas proses undang-undang selesai. - Bernama