SHAH ALAM - Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap penjenayah sebenar di sebalik isu keldai akaun dan bukannya pemilik akaun.
Menurut beliau, yang menjadi masalah melibatkan isu keldai akaun adalah tindakan diambil terhadap pemilik akaun yang kebanyakannya merupakan mangsa keadaan.
"Jika terbukti ada unsur subahat, maka wajarlah tindakan diambil terhadap kedua-dua dalang dan pemilik akaun, namun selalunya pemilik akaun menjadi mangsa penipuan atau dipengaruhi pihak tertentu.
"Saya beri analogi mudah, pisau milik Leha digunakan Ali untuk menikam Abu. Maka pihak berkuasa sepatutnya menyiasat Ali dan bukannya Leha yang dicari di mahkamah.
"Inilah isu besar yang menjadi kelompangan dan perlu segera dihentikan bagi mengelak pihak tidak bersalah teraniaya,” ujar Nadzim ketika ditemu bual di Shah Alam pada Selasa.
Menurut Nadzim atau mesra disapa sebagai Toqqi, pihak PPIM menerima ribuan aduan pihak yang menjadi mangsa isu keldai akaun dan amat menyedihkan apabila majoritinya adalah orang Melayu.
"Antaranya, seorang graduan yang baru beberapa hari menamatkan pengajian berdepan tindakan undang-undang hanya kerana dirinya pemilik akaun dalam kes yang disyaki membabitkan keldai akaun.
"Akaun dibuka atas permintaan ibunya yang hendak meminjam daripada ah long yang sebenarnya adalah scammer,” katanya.
Tegas Nadzim, kerajaan menerusi pihak berkuasa harus bertindak proaktif dalam menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan terhadap dalang yang sebenar-benarnya.
"Lakukan siasatan menyeluruh dan pastikan penjenayah sebenar dihukum, jangan hanya mahu tutup kes dengan segera,” katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mencadangkan supaya peruntukan undang-undang berkaitan jenayah penipuan dalam talian digubal bagi memberi lebih kuasa khususnya kepada polis dalam menguatkuasakan undang-undang dengan lebih berkesan.
Menurut Arjunaidi, kuasa yang lebih luas akan membolehkan polis menangkap, menyiasat dan mendakwa dalang penjenayah yang bersembunyi di belakang keldai akaun.
Dalam pada itu, Toqqi turut membangkitkan keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang bagi memastikan syarikat telco tidak menyalahkan gunakan butiran pemilik nombor telefon untuk tujuan penipuan atau scam dalam talian.