SINAR HARIAN baru-baru ini mendedahkan kos persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri terus meningkat susulan kenaikan harga barang.
Selepas dua tahun umat Islam di negara ini terpaksa beraya dalam keadaan sekatan pergerakan Covid-19, tahun ini ramai yang teruja untuk balik kampung dan berhari raya dalam suasana lebih meriah.
Namun di sebalik kegembiraan itu, rakyat terpaksa berbelanja lebih untuk empat keperluan utama iaitu membeli baju raya, menyediakan juadah raya, memberi duit raya dan perjalanan balik kampung.
Kos perbelanjaan tersebut dianggarkan RM1,500 hingga RM4,500 bagi sebuah keluarga yang mempunyai seorang hingga empat orang anak, manakala untuk individu bujang sekitar RM1,200 seorang.
Bagaimanapun, orang ramai diingatkan agar tidak terlalu mengikut nafsu untuk menyambut hari raya nanti.
Elakkanlah berhutang lebih-lebih lagi dengan ah long. Apatah lagi promosi pinjaman hari raya sudah bertebaran di media sosial sejak sebelum Ramadan lagi.
Berdasarkan laporan sebelum ini, ada peminjam benar-benar terdesak akibat hilang pekerjaan, namun ada juga individu yang meminjam kerana hendak mewah beraya.
Itu belum termasuk segelintir warga kota yang sanggup berhabis duit menyewa kenderaan mewah semata-mata ingin nampak bergaya ketika pulang ke kampung.
Walaupun pinjaman dibuat membabitkan jumlah yang kecil, perbuatan itu ibarat mengundang musibah. Lambat laun mereka akan terjerat dengan kerakusan lintah darat itu.
Sudah banyak kes, jumlah yang dipinjam tidak besar tetapi menjadi besar selepas dikira dengan kadar faedah yang terlalu tinggi.
Justeru, kita berharap bantuan khas Aidilfitri penjawat awam RM500 hingga RM1,000 dan pengeluaran RM10,000 wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedikit sebanyak dapat mengelakkan masalah berhutang ini.
Jangan hanya kita bahagia sementara menyambut raya, tapi akhirnya bertahun-tahun terjerat dengan hutang. Fikir-fikirlah sebelum meminjam pinjaman wang ‘istimewa raya’.