IPOH - Tiga ladang ternakan babi komersial di Perak dikesan berlaku jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) membabitkan sebanyak lebih 3,700 ekor babi.
Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, ladang ternakan tersebut masing-masing satu di daerah Hilir Perak dan dua lagi di daerah Batang Padang.
Menurutnya, jangkitan itu disahkan melalui ujian oleh Makmal Institut Penyelidikan Veterinar di sini.
"Setakat 10 April 2022, semua babi di ladang yang positif diambil tindakan pelupusan segera di bawah Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) untuk mengawal perebakan. Sehingga kini, 990 ekor babi telah dilupuskan dari ladang yang terlibat.
"Pemantauan, pemeriksaan dan persampelan semua ladang babi di daerah Batang Padang dan Hilir Perak turut dijalankan sebagai langkah proaktif dalam mengawal perebakan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.
Razman berkata, Notis Kuarantin di bawah Seksyen 18(3) Akta Binatang 1953 (Semakan-2006) telah dikeluarkan kepada pemilik ladang yang disahkan positif untuk tidak memindahkan ternakan ke ladang terjangkit.
Menurutnya, enam ladang ternakan babi yang berada dalam lima kilometer (km) radius dari ladang disahkan positif turut dikuarantin untuk pemeriksaan lanjut dan persampelan.
Jelasnya, Perintah Kawasan Dijangkiti, Kawasan Kawalan dan Pembasmian Penyakit ASF Negeri Perak juga telah diwartakan pada 4 April lalu bagi memastikan kawalan serta penguatkuasaan lebih ketat dapat dijalankan.
Beliau berkata, setiap pemilik ladang ternakan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 jika gagal melapor segera kepada JPV sekiranya jangkitan tersebut dikesan pada ternakan.
Sementara itu, Dr Ahmad Shafri berkata, penularan jangkitan tersebut masih terkawal dan tidak menjejaskan bekalan daging babi di pasaran.
Katanya, hanya tiga daripada 95 ladang babi di Perak yang dikesan terdapat jangkitan penyakit tersebut.
Dalam pada itu, beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan jangkitan penyakit ASF di sebuah ladang ternakan di Negeri Sembilan berpunca dari babi yang dibawa dari Perak.
Menurutnya, berdasarkan rekod tiada permintaan rasmi untuk membekalkan daging babi ke Negeri Sembilan.