KUALA LUMPUR - Malaysia perlu tampil dengan sistem atau koordinasi yang lebih teratur dalam menguruskan kesesakan lalu lintas bagi mengurangkan tahap stres dialami pemandu ketika ini.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia Dr Hazli Zakaria berkata, koordinasi ini termasuklah menambah baik waktu yang bersesuaian untuk sekatan jalan raya dan kerja-kerja penyelenggaraan jalan diadakan.
Beliau berkata, Malaysia boleh menjadikan Singapura sebagai contoh untuk menambah baik pengurusan sedia ada kerana negara itu mempunyai sistem yang efisien sehingga berhasil mewujudkan pengalaman memandu yang kondusif.
"Banyak punca yang dikenal pasti menyebabkan peningkatan stres ketika memandu di negara ini, antaranya kerana terpaksa berdepan sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa yang menyempitkan lorong, dan juga pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaran jalan pada masa yang tidak bersesuaian.
"Semua ini akan memberi kesan pada kadar ketahanan rakyat Malaysia atau kebolehan mereka untuk memandu, sebab itu perlu ada sistem pengurusan yang menyenangkan pengguna,” katanya kepada Bernama di sini.
Dr Hazli yang juga Konsultan Psikiatri dan Psikoterapi, Klinik Pakar Alaminda, Shah Alam, Selangor, berkata demikian sebagai mengulas kajian sebuah platform antarabangsa Confused.com baru-baru ini yang mendedahkan Malaysia menduduki tangga kelapan sebagai negara paling stres untuk memandu, berdasarkan kepada 72 daripada 100 skor diraih.
Dalam masa sama, Dr Hazli berharap pemandu turut dapat memperbaiki tabiat pemanduan mereka dengan membuat perancangan dan persediaan teliti sebelum memulakan perjalanan, bagi mengelakkan risiko terjadinya stres ketika pemanduan.
Ini kerana menurutnya, kualiti jalan raya di Malaysia berada pada tahap yang baik jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di rantau Asia Tenggara, namun tahap stres rakyat ketika memandu adalah lebih tinggi.
"Tatasusila ketika memandu itu penting kerana kita sering melihat situasi pemandu tidak prihatin semasa menghimpit, mengubah laluan mereka tanpa memberi isyarat atau mengambil jalan kecemasan tanpa sebab.
"Keadaan ini boleh mengundang pemanduan yang berisiko atau menyebabkan pengguna jalan raya lain tertekan dan gagal mengawal emosi, lantas membuatkan mereka bertindak di luar kawalan seperti mencetuskan pergaduhan di jalan raya,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim, perasaan stres yang dialami pemandu ketika ini turut berkait dengan permasalahan di tempat kerja, keadaan kewangan, kesihatan, faktor umur, jantina dan juga tujuan sesuatu perjalanan dilakukan.
Selain itu, ia juga berpunca daripada bebanan pemerhatian bahaya termasuk melibatkan pejalan kaki, kawasan persimpangan dan keadaan jalan yang sukar.
"Di Malaysia terdapat lima kategori stres yang dikesan dalam kalangan pengguna jalan raya iaitu aggression, dislike of driving, hazard monitoring, proneness to fatigue dan thrill seeking.
"Aggression sebagai contoh merujuk kepada sikap atau tabiat agresif pemandu yang mudah marah apabila berdepan sesuatu insiden semasa pemanduan dan ia lebih dikesan dalam kalangan pemandu lelaki, manakala dislike of driving berkenaan tahap keyakinan dan masalah keresahan seseorang ketika memandu dan lebih cenderung dialami pemandu wanita," katanya. - Bernama