BEKAS presiden FIFA Sepp Blatter dan bekas Presiden UEFA Michel Platini akan dibicarakan pada Jun ini, atas pertuduhan rasuah berhubung pembayaran AS$2 juta (RM8.4 juta) yang dibuat badan induk bola sepak dunia kepada Platini.
Kedua-dua mereka sebelum ini berulang kali menafikan tuduhan tersebut selepas pendakwa raya Switzerland mendakwa Blatter secara tidak wajar mengatur bayaran kepada Platini pada 2011 atas alasan khidmat perunding.
Platini dan Blatter juga disyaki menipu serta dituduh atas beberapa dakwaan lain yang dianggap skandal rasuah terbesar hingga menjejaskan imej Fifa.
Perbicaraan kes tersebut akan dilakukan di hadapan Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland yang dijadualkan bermula pada 8 Jun sehingga 22 Jun ini.
Dalam pada itu pejabat peguam Blatter ketika ditanya mengenai pendakwaan tersebut enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun anak guam mereka itu bersedia memberi kerjasama berhubung dakwaan yang dikenakan itu.
"Saya menantikan perbicaraan di hadapan Mahkamah Jenayah Persekutuan dengan penuh keyakinan.
"Saya sangat berharap kisah ini akan berakhir dan semua fakta akan ditangani dengan betul," katanya.