PEMAIN pertahanan West Ham United, Kurt Zouma kecewa terlepas peluang beraksi pada suku akhir Liga Europa, berdepan Olympique Lyon di Stadium Groupma setelah mengalami kecederaan buku lali.
Bagaimanapun menurut Zouma, dia perlu mengikut nasihat doktor untuk berehat bagi memastikan kecederaannya itu pulih seperti sediakala.
"Saya agak kecewa kerana tidak dapat beraksi bagi membantu pasukan pada aksi suku akhir Liga Europa kali ini.
"Perlawanan ini penting kerana ia akan menentukan pasukan yang layak ke separuh akhir setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi suku akhir pertama 8 April lalu.
"Apa pun, saya tetap yakin dengan kemampuan pasukan dan ia bakal menghasilkan keputusan yang positif nanti,” katanya.
Kecederaan Zouma sekali gus menyaksikan pengendali West Hams, David Moyes terpaksa membuat sedikit rombakan dalam usaha mengimbangi kekuatan The Hammers.
Sementara itu Moyes berharap kekalahan 0-2 kepada Brentford pada Isnin, tidak menjejaskan fokus West Ham bagi mengharungi aksi suku akhir kedua berkenaan.
Katanya, pemain-pemain kelihatan bersemangat untuk beraksi dan seterusnya menghasilkan kejayaan pasukan.
"Pemain-pemain dilihat sudah bersedia dan ini memberikan petanda baik buat kita untuk berdepan Lyon di hadapan ribuan penyokong mereka,” katanya.