ANKARA - Turki berhasrat muncul sebagai kuasa besar logistik, selaras dengan wawasan 2053 negara itu, kata Presidennya Recep Tayyip Erdogan.
Kedudukan Turki yang strategik di segi tiga perdagangan Eropah-Asia-Afrika, menawarkan peluang besar terutama dalam sektor pengangkutan, katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Turki membuat pelaburan besar bernilai AS$172 bilion dalam lima sektor pengangkutan utama sejak 2003, lapor Xinhua.
Pelaburan dalam sektor perkhidmatan kereta api menjadi keutamaan. Rangkaian kereta api telah diperluaskan daripada 10,959 kilometer (km) kepada 13,022 km, dan akan diperluaskan lagi kepada 28,590, kata Erdogan.
Pegangan saham bagi kereta api penumpang dijangka meningkat daripada satu peratus kepada 6.2 peratus, melebihi purata Eropah, dan kerajaannya menyasarkan 22 peratus perkhidmatan penghantaran barang menggunakan kereta api menjelang 2053.
Turki juga akan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan raya, melebarkan rangkaian sejauh 28,650 km kepada 38,000 km, dan rangkaian lebuh raya daripada 3,633 km kepada 8,325 km.
Pelabuhan Turki boleh memuatkan hampir 255 juta tan kargo menjelang tahun depan, dan angka ini akan mencecah 421 juta tan pada 2053, katanya.
Kemudahan pelabuhan turut dipertingkat daripada 217 kepada 255 pada 2053, tambah Erdoğan.
Sementara itu, Projek Terusan Istanbul sangat penting demi mengurangkan kesesakan kapal di Bosphorus.
Jumlah lapangan terbang juga akan bertambah daripada 56 kepada 61 pada tahun akan datang. - Bernama