Maqis rampas daging import sejuk beku dari India

Iklan
Produk ruminan daging kerbau sejuk beku yang diimport dari India dirampas di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), pada Sabtu.

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 2,516 kotak produk ruminan daging kerbau sejuk beku yang diimport dari India di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT) di sini, pada Sabtu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, rampasan dibuat semasa pemeriksaan dilakukan pegawai penguat kuasanya dan mendapati produk terbabit diimport menggunakan dokumen yang mengelirukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan diimport merupakan bahagian kerbau terdiri daripada 1,000 kilogram (kg) hock tendon, 2,988 kg ekor, 6,000 kg hati dan 17,000 kg jantung dianggarkan bernilai RM262,079.63.

"Penggunaan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan akan disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)

Produk ruminan daging kerbau sejuk beku yang diimport dari India dirampas di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini pada Sabtu lalu.

Iklan

"Menjadi suatu kesalahan mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Muhammad Ikram berkata, kesemua dagangan tersebut telah ditahan Maqis untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

Katanya, Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan.