SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bayaran gaji kepada amah atau pembantu rumah domestik akan dibayar tidak kurang daripada gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Menurut beliau, ia merupakan antara kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) Berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia yang ditandatangani pada 1 April lalu.
"Saya ingin menjelaskan antara kandungan MoU itu ialah gaji bagi pekhidmat domestik akan dibayar tidak kurang daripada gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini.
"Oleh yang demikian, saya berharap tiada lagi kekeliruan yang timbul berkaitan dengan gaji bagi pekhidmat domestik Indonesia selepas ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa tajuk laporan akhbar yang menyatakan gaji pekhidmat domestik Indonesia bermula RM1,200.
Pada 12 April, media melaporkan, bayaran gaji kepada amah atau pembantu rumah Indonesia, bermula pada kadar RM1,200 sebulan, berdasarkan pelaksanaan gaji minimum semasa.
Pada 1 April, Malaysia dan Indonesia telah memeterai memorandum persefahaman bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (MoU PDI) di Malaysia.
Pemeteraian MoU itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Merdeka.