SHAH ALAM - Seramai 2,200 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna (KPDNHEP) digerakkan bagi mengawal mana-mana individu berkenderaan asing dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan minyak Petrol RON95.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi menambahkan keberkesanan, pegawai-pegawai tersebut akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman iaitu tidak memakai pakaian seragam dalam operasi tersebut.
"Susulan pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April 2022, negara menerima kemasukan kenderaan-kenderaan yang banyak dari pelbagai negara. Terdapat juga laporan yang diterima daripada orang ramai dan media tentang kenderaan asing mengisi minyak Petrol RON95 khususnya di stesen minyak sempadan negara.
"Bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, kementerian mempergiatkan penguatkuasaan untuk memastikan semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi minyak Petrol RON95 di seluruh negara.
"Walau bagaimanapun, kenderaan-kenderaan tersebut dibenarkan untuk mengisi minyak RON97 di stesen-stesen minyak di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau berkata, mana-mana individu atau pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.
Tambahnya, bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” ujarnya.
Menurut Alexander, kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.
"KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua orang dan pengusaha stesen minyak bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah.
"Tindakan tegas akan di ambil termasuk mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut boleh menyalurkan aduan melalui saluran WhatsApp di 019-279 4317, portal aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my, call centre 1-800-886-800, emel di e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Ez ADU KPDNHEP.