SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya akan dapat mengembalikan sokongan dengan politik ‘periuk nasi rakyat’ dan bukannya dengan mencari jalan pintas ke Putrajaya.
Justeru, calon Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan parti itu akan mendapat sokongan rakyat dengan dasar ekonomi yang radikal dan sistem politik yang berpaksikan reformasi.
"Sebagai parti yang tampil dengan prinsip ketuanan rakyat, kita perlu ada keyakinan bahawa penerimaan majoriti rakyat iaitu orang Melayu dengan politik pelbagai kaum sebagai jalan terbaik untuk negara bergerak ke hadapan.
"Dengan ini, kita akan fokus soal sekolah yang lebih baik, hospital yang lebih berkualiti dan pekerjaan yang lebih berdaya tahan dan bukannya wayang perkauman dan agama yang telah mengheret kita ke belakang selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Selain bertanding bagi jawatan naib presiden di peringkat pusat, Nik Nazmi juga akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa dan dijangka akan berdepan dengan artis terkenal, Datuk Afdlin Shauki Aksan.
Beliau secara terbuka turut menyatakan sokongan dengan gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden bagi membolehkan parti itu bangkit semula.
Malah katanya, kedua-dua pemimpin itu sering kali mengingatkan agar ‘yakini rakyat’ atau ‘trust the wisdom of the people’.
"Saya percaya mandat dan kuasa diperlukan untuk melaksanakan agenda reformasi di dalam parti.
"Kita harus insaf, di sebalik kemeriahan pemilihan parti, rakyat di luar sana termasuk ramai anggota biasa parti yang dihimpit kegawatan ekonomi dan kelesuan politik hari ini.
"Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor membuktikan parti-parti perkauman dan agama yang memecahbelahkan rakyat bermaharajalela ketika suara PKR dan Pakatan Harapan tenggelam,” ujar beliau.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan pertandingan di semua peringkat atas semangat demokrasi yang sihat dan berharap seramai mungkin anggota parti dari segenap pelosok negara dapat turut serta.
Nik Nazmi turut yakin, semua calon akan menggunakan ruang tersebut untuk mengutarakan hujah pendekatan bagi kemenangan PKR dan bukannya untuk mendapat kuasa semata-mata.