SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkesempatan menyantuni golongan kurang bernasib baik daripada beberapa rumah kebajikan dan pusat jagaan dalam penganjuran Majlis Berbuka Puasa bersama Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, pada Isnin.
Yamani Hafez memuji usaha murni LHDN dalam meraikan golongan yang memerlukan kerana penerima sumbangan itu khususnya anak-anak yatim dan asnaf merupakan sebahagian daripada generasi yang akan mewarisi legasi negara.
"Semoga sedikit bantuan ini akan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, dengan mengambil semangat kemuliaan Ramadan, LHDN akan terus berusaha meningkatkan peranannya sebagai pentadbir cukai langsung di negara ini.
"Aktiviti-aktiviti teras pentadbiran cukai seperti penaksiran, pemungutan, audit, siasatan, pengesanan, pendidikan cukai dan khidmat pelanggan tetap diberikan keutamaan sepanjang Ramadan ini.
"Hal ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan tidak terganggu serta menjamin kemapanan kutipan hasil negara,” ujarnya.
Selain sumbangan duit raya kepada 45 anak-anak yatim dan asnaf, Yamani Hafez turut menyempurnakan penyerahan sumbangan LHDN berjumlah RM5,000 kepada setiap rumah kebajikan dan pusat jagaan yang diraikan.
Antaranya Rumah Anak Yatim Sg Kantan, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Rumah Bakti Al-Kausa, Pusat Jagaan Mesra Assalam, Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah dan Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah.
Majlis iftar yang berlangsung di Ibu Pejabat LHDN itu turut disertai anggota-anggota Lembaga, Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan warga kerja LHDN.