PASIR PUTEH - Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan cedera selepas bergelut dengan nelayan asing Vietnam ketika cuba menahan bot tersebut yang menceroboh perairan negara ini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, anggota Maritim Malaysia Kelantan yang berusia 32 tahun mengalami kecederaan di tapak tangan kiri dan ibu jari kanan manakala seorang lagi cedera pada ibu jari kanan.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, ketika rondaan Op Khas Naga Barat, Khas Kuda Laut dan Damai, anggota terbabit mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan pada jarak 46 batu nautika daripada muara Tok Bali.
"Mereka kemudian mengejar bot tersebut tetapi nelayan berkenaan bertindak melajukan bot.
"Mereka berdegil dan tidak berhenti anggota berkenaan terpaksa menggunakan 'force boarding' bagi memastikan bot itu berhenti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, anggota terbabit kemudian menerpa rumah kemudi bagi mengambil alih kawalan ke atas bot tetapi tekong bot bertindak mengacukan pisau dan cuba menikam anggota berkenaan sehingga berlaku pergelutan.
Tambah Syed Nor Adli, pergelutan menyebabkan dua anggota itu mengalami kecederaan tetapi berjaya menangani tindakan agresif nelayan asing terbabit.
"Pemeriksaan ke atas bot membawa kepada penemuan 20 kru termasuk tekong berusia antara 20 hingga 48 tahun yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati bot berkenaan tidak mempunyai permit menangkap ikan bawah Akta Perikanan 1985.
"Selain bot, dua anggota itu turut merampas peralatan menangkap ikan, ikan seberat 500 kilogram dan bekalan diesel sebanyak 500 liter dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.5 juta.
Kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985," katanya.