Tiada arahan polis halang kelab penyokong masuk stadium

Iklan
Mior Faridalathrash meninjau pematuhan SOP Covid-19 sempena Program High Profile Policing Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.

IPOH - Polis tidak pernah mengeluarkan arahan menghalang kemasukan penyokong bola sepak Perak masuk ke stadium bagi menonton perlawanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kebenaran masuk diberikan kepada semua penyokong dengan syarat telah membeli tiket yang sah bagi menyaksikan perlawanan itu.

Iklan
Iklan

"Kita tidak boleh menghalang orang yang nak tengok perlawanan bola, setakat ini saya tak dapat maklumat bahawa polis telah menghalang.

"Ada tiket yang sah untuk masuk, maka kita akan benarkan," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan Program High Profile Policing Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan segelintir penyokong bola sepak Perak FC yang mendakwa polis dikerahkan ke Stadium Perak bagi menghalang kelab penyokong memasuki stadium.

Isu berkenaan dikatakan timbul selepas perlawanan Piala FA antara Perak FC dan Kijang Rangers FC pada 31 Mac lalu apabila sebahagian penyokong menyanyikan lagu bersifat provokasi terhadap pemilik Perak FC, Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC).

Iklan

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, anggota polis yang ditempatkan di stadium mempunyai tanggungjawab terhadap kawalan keselamatan terutama memastikan kelancaran sepanjang perlawanan.

Langkah itu katanya, termasuklah membuat pemeriksaan rapi ke atas penonton agar tidak membawa masuk barangan terlarang dan yang tidak mendapat kebenaran.

"Jika pengurusan stadium membuat ketetapan melarang bawa gendang masuk dan sebagainya, maka kita akan halang, itu terpulang kepada pengurusan stadium," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 115 kompaun telah dikeluarkan membabitkan pelanggaran pematuhan SOP di semua 106 bazar Ramadan seluruh negeri, sejak 1 April lalu.

Jelasnya, kesalahan paling tinggi direkodkan adalah kegagalan mendaftar masuk premis sebanyak 91 kes diikuti tidak memakai pelitup muka dan peniaga gagal menyediakan dan memastikan pengunjung mengimbas QR kod MySejahtera.

"Kita telah membuat teguran, jika tidak diambil teguran itu maka kita akan mengeluarkan kompaun ke atas individu yang gagal mematuhi SOP ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini," katanya.