Lebih 1,000 askar Ukraine didakwa serah diri kepada tentera Rusia

Iklan
Gambar fail menunjukkan askar-askar Rusia sedang mengawal di sebuah bangunan yang dibedil di Mariupol baru-baru ini. - Foto AFP

MOSCOW - Lebih 1,000 anggota perkhidmatan Briged Marin ke-36 Ukraine telah menyerah diri di bandar pelabuhan Mariupol, dakwa Kementerian Pertahanan Rusia pada Rabu.

Menurut laporan tentera Rusia, pasukan tentera Ukraine itu meletakkan senjata mereka dekat sebuah kilang logam gergasi yang digunakan sebagai kubu kuat bagi menentang tentera Moscow.

Iklan
Iklan

Seramai 1,026 anggota perkhidmatan, termasuk 162 pegawai adalah antara tawanan tentera Rusia, kata jurucakap kementerian berkenaan, Mejar Jeneral Igor Konashenkov.

Beliau berkata, seramai 47 daripada anggota tentera yang menyerah diri itu ialah perempuan.

Iklan

Pegawai perubatan Rusia memberikan pertolongan cemas kepada seramai 151 tawanan yang cedera sebelum memindahkan mereka ke hospital tempatan.

Laporan mengenai sejumlah besar tentera Ukraine meletakkan senjata di Mariupol mula muncul pada Selasa.

Iklan

Ia disokong oleh rakaman video daripada wartawan perang yang menunjukkan apa yang kelihatan seperti kumpulan orang yang memakai pakaian seragam tentera berada dalam tawanan.

Penyerahan beramai-ramai yang didakwa itu adalah susulan laporan Kementerian Pertahanan Rusia yang menyatakan kira-kira 100 marin Ukraine telah membuat percubaan untuk keluar dari kilang itu. - Agensi