TAHUN ini, Merak Jalanan tidak ketinggalan membeli juadah di bazar Ramadan. Maklum saja, sudah dua tahun tidak berkesempatan menikmati suasana tersebut disebabkan pandemik Covid-19.
Jika dua tahun lalu iaitu sebelum pandemik melanda, menu wajib Merak Jalanan beli di bazar Ramadan ialah ikan atau ayam bakar, kuih-muih, roti john, air kelapa, manakala satu lauk untuk hidangan pada waktu sahur nanti.
Bawa RM50 sudah cukup untuk hidangan sekeluarga.
Tapi Ramadan kali ini agak berbeza apabila dengan wang RM50, Merak Jalanan tidak lagi dapat beli hidangan semewah itu.
Merak Jalanan terkejut mendapati penjual ikan bakar menjual ikan siakap bersaiz sederhana dengan harga RM40. Jika saiz besar sikit, boleh cecah RM50. Ikan saiz kecil tidak pula dijualnya.
Kambing bakar yang biasa dijual berharga RM10 kini sudah naik kepada RM14. Saiznya juga semakin kecil berbanding sebelum ini.
Merak Jalanan tahu, harga bahan mentah yang melambung menyebabkan peniaga menaikkan harga makanan yang dijual. Tapi ada pihak mendakwa, punca kenaikan harga mentah disebabkan pengeluar atau pemborong mengenakan caj tambahan seperti pengangkutan kepada peniaga dan akhirnya kos tersebut terpaksa ditanggung pembeli.
Sebab itu, ada peniaga terpaksa menjual ayam sehingga RM10 iaitu melebihi harga maksima RM8.90 yang ditetapkan kerajaan. Peniaga tidak ada cara lain selain menaikkan harga.
Merak Jalanan tidak pasti sampai bila masalah rantaian ekonomi yang sudah lama berlarutan, akan selesai. Isu sama masih kedengaran, namun masih tiada penyelesaian efektif dapat dilakukan kerajaan.
Bila berkunjung ke bazar Ramadan, barulah Merak Jalanan sedar wang kita ketika ini tidak sama lagi nilainya berbanding dua tahun lepas. Bawa RM50 belum tentu cukup untuk membawa pulang hidangan untuk keluarga.