SUDAH pasti sebahagian rakyat Malaysia kini sedang menghitung hari menunggu wang RM10,000 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikreditkan dalam akaun masing-masing bermula 20 April ini.
Berdasarkan laporan kaji selidik sebuah stesen televisyen baru-baru ini, daripada lebih 6,000 responden, sebanyak 51 peratus memilih untuk menggunakan wang tersebut bagi menampung perbelanjaan keperluan asas.
Sementara 25 peratus pencarum lagi mahu menggunakan wang tersebut untuk melangsaikan hutang, manakala 10 peratus memilih berbelanja dan bercuti. Selebihnya bercadang untuk melabur dan lain-lain kegunaan.
Walau apa pun, niat mereka boleh berubah bila-bila masa apabila wang berada di tangan nanti, apatah lagi hari raya menjelang tidak lama lagi.
Ada kemungkinan orang ramai terutama dalam kalangan B40 dan M40 akan menggunakan sebahagian wang itu untuk persiapan hari raya yang pasti disambut meriah selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tidak salah untuk menggunakan sedikit wang tersebut untuk persiapan raya, cuma yang dirisaukan sekiranya ada yang berbelanja sakan menggunakan wang KWSP itu semata-mata untuk menyambut raya sehingga lari dari matlamat asal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menjelaskan, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas itu berdasarkan hasil kajian mendapati rakyat masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
Beliau mengakui ia keputusan yang sukar kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat. Pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
Sebenarnya, RM10,000 bukanlah satu jumlah yang besar dan ia boleh dihabiskan hanya dalam masa 24 jam.
Sedangkan jika RM10,000 itu dikekalkan dalam akaun KWSP sebagaimana dijelaskan pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai baru-baru ini, jumlah itu boleh menjadi RM17,908 selepas 10 tahun dan RM57,434 selepas 30 tahun jika mengambil kira kadar pulangan sebanyak enam peratus.
Sekiranya kemeriahan hari raya tahun ini menjadi keutamaan, tidak mustahil ada yang akan ‘terbabas' dalam membelanjakan wang tersebut.
Seorang rakan penulis mengakui dia terpaksa menggunakan wang KWSP untuk menyediakan persiapan hari raya keluarganya.
Bapa kepada empat anak itu terpaksa mengharapkan wang itu kerana pendapatannya hanya cukup untuk komitmen bulanan dan keperluan harian.
Tambahan pula, satu-satunya kereta yang digunakan ketika ini sering rosak dan perlu dibaiki. Wang KWSP itulah yang akan digunakan nanti.
Itu belum lagi ada rakan dan saudara-mara mula berkias-kias menuntut hutang yang dipinjamnya bagi menampung kehidupan akibat kehilangan kerja semasa PKP lalu.
Situasi dilalui rakan penulis ini masih pada tuntutan kepada keperluan, jadi itulah gunanya wang tersebut.
Selain pencarum sendiri, ada kelompok lain yang juga mengharapkan rezeki daripada keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP itu. Antaranya, golongan peniaga termasuk peniaga bazar Aidilfitri.
Rata-rata peniaga yang ditemui penulis amat berharap agar mereka yang mengeluarkan caruman melalui pengeluaran khas itu membelanjakan wang mereka untuk keperluan raya.
Salah seorang peniaga yang ditemui mengakui jualannya ketika ini masih perlahan dan berharap orang ramai mula berbelanja selepas menerima wang KWSP tersebut.
Namun, jika silap langkah dalam berbelanja, peniaga yang akan tersenyum dengan keuntungan diperoleh, sebaliknya pencarum hanya bergembira seketika.
Sehubungan itu, penulis mengingatkan mereka yang mengeluarkan wang KWSP nanti agar gunakanlah wang tersebut dengan cara berhemah.
Rancang sebaik mungkin ke mana wang itu harus dibelanjakan agar hasrat kerajaan membenarkan pengeluaran khas itu benar-benar mencapai matlamatnya.
Jangan bergembira sakan semasa hari raya dan kembali menggaru kepala selepas wang yang dikeluarkan habis begitu sahaja.
* Nik Amirulmu’Min Nik Min ialah wartawan Sinar Harian