KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam nahas di Jalan Sabah Port, Sepanggar, di sini, pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Ahmad Faiz Mohd Hanif, 39, dan Norasnizam Mohd Alui, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu treler ketika kejadian dari arah Pelabuhan Sepanggar menghala ke terowong.
Mohd Zaidi berkata, bagaimanapun pemandu berkenaan berpatah balik ke Pelabuhan Sepanggar selepas menerima panggilan telefon daripada syarikat untuk mengambil muatan kontena.
"Pemandu treler membuat pusingan U dan tetapi pergerakannya terganggu dan perlahan kerana terdapat sebuah kenderaan lain yang diletakkan di bahu kiri jalan.
"Tiba-tiba pemandu treler terdengar bunyi sesuatu yang melanggar bahagian belakang kenderaan yang dipandunya dan apabila diperiksa didapati dua motosikal yang ditunggang kedua-dua mangsa yang datang dari arah terowong melanggar bahagian belakang treler berkenaan dan menyebabkan mereka terperosok di bawah treler bersama motosikal masing-masing," katanya ketika dihubungi.
Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Kes bagaimanapun masih dalam siasatan di bawah Seksten 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam.
"Dilaporkan kejadian melibatkan dua motosikal merempuh sebuah treler dari arah belakang," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.
Tambahnya, pasukan bomba yang tiba bertindak menjalankan operasi sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Pemeriksaan di sekitar lokasi turut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.33 malam," katanya.