RANTAU PANJANG - Hasrat seorang lelaki untuk menikmati upah lumayan sebanyak RM800 dengan menghantar mercun dan seluar jeans gagal selepas ditahan semasa melalui sekat pintas Serongga di sini pada Rabu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, suspek berusia 30 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra dalam keadaan mencurigakan itu ditahan pada jam 4.45 petang.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas MPV itu telah menjumpai mercun sebanyak 264 kotak dan 425 helai seluar jeans," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, kesemua barangan seludup itu telah disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet belakang kenderaan tersebut.
Azhari berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek menerima upah sebanyak RM800 bagi satu trip penghantaran.
Katanya, kesemua barangan tersebut dipercayai di seludup dari negara Thailand melalui pangkalan haram untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM69,500.
"Kesemua rampasan termasuk suspek telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut. Kes disisat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini," katanya.