Tidak gusar perubahan sokongan: Zuraida

Iklan
Zuraida (empat, kiri) ketika gimik perasmian Pusat Komuniti Lestari di Taman Tunku Sarina.

JITRA - PKR tidak gusar berdepan PRK DUN Rantau meskipun kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan sokongan rakyat terhadap PH menurun selepas PRU14.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan memahami reaksi rakyat itu adalah susulan perubahan tampuk pemerintahan negara yang diperintah BN sejak 60 tahun lalu, pastinya rakyat memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia turut dipengaruhi situasi unik dalam negara yang berdepan enam PRK dalam tempoh 10 bulan peralihan kuasa selepas PRU14.

"Saya tak bimbang dengan kajian itu, secara kebetulan berlaku beberapa PRK dan dalam sejarah negara kita tidak pernah alami situasi sebegini. Yang kita perlu beri tumpuan adalah PRU15,” katanya, selepas merasmikan Pusat Komuniti Lestari di Taman Tunku Sarina, hari ini.

Iklan

Zuraida tidak menolak kemungkinan pertukaran kerajaan itu memberi gambaran yang tidak mencerminkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan baharu.

"Untuk sesuatu perubahan, ia ambil masa. Dalam masa dua tahun ini, pimpinan PH dan menteri Kabinet mampu bawakan perubahan dalam polisi dan pelaksanaan, saya kira rakyat kini dalam situasi berdepan reformasi kerajaan PH termasuk polisinya, namun rakyat belum bersedia menyebabkan proses kematangan ambil masa, termasuk penerimaan,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pihaknya yakin sokongan rakyat terhadap pemerintahan baharu kembali pulih selepas tempoh dua tahun setelah mereka menyaksikan keberkesanan polisi kerajaan PH.

"Selepas itu, rakyat akan faham tindak tanduk yang dibuat kerajaan PH sekarang. Sekurang-kurangnya perlukan dua tahun untuk stabilkan kegelisahan rakyat akibat perubahan dasar kerajaan baharu. Dalam tempoh ini, banyak perkara perlu disemak, diteliti, diubah dan diperbetulkan,” katanya.

Zuraida berkata, setelah rakyat melihat keberkesanan hasil pentadbiran baharu, pihaknya yakin keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH akan meningkat semula.

"Rakyat akan sokong kita pada PRU15, untuk PRK Rantau tidak perlu bimbang kerana ia situasi unik di mana seusai PRU14 kita berdepan pula enam PRK dalam tempoh singkat, ini hanyalah reaksi sementara dan beri impak kepada rakyat,” katanya.

Khamis lalu, Pengarah Eksekutif yang juga Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman mendedahkan, berdasarkan kajian IDE, sokongan rakyat terhadap kerajaan PH didapati menurun selepas PRU14.

Ini disebabkan oleh perkembangan semasa dalam negara seperti kenaikan harga barang, harga komoditi tidak stabil, ketidakpuasan hati rakyat akibat manifesto PRU14 dan harapan yang tidak ditunaikan, selain kebebasan media.

Kajian juga mendapati rakyat mengharapkan sesuatu yang lebih baik setelah berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara, dan mahukan perubahan drastik dalam tempoh singkat.