SHAH ALAM - Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) memperkenalkan satu perkhidmatan tren khas dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia yang akan membuat perjalanan pada 29 April ini bersempena dengan sambutan Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan tersebut dilaksanakan bagi tujuan membantu mengurangkan kesesakan trafik di lebuh raya yang kebiasaannya dihadapi oleh warga pantai timur semasa musim perayaan.
"Secara lazimnya, setiap kali musim perayaan terutamanya Aidilfitri, kesesakan jalan raya bakal dihadapi warga Pantai Timur. Pada tahun ini, kita jangkakan pertambahan trafik yang drastik kerana sudah dua tahun tidak dapat pulang beraya.
"Oleh itu, dengan adanya perkhidmatan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan dan memberi jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebanyak 516 tiket ditawarkan bagi perkhidmatan berkenaan yang akan beroperasi bagi laluan Pantai Timur bermula dari Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur ke Stesen Tumpat, Kelantan.
Menurut KTMB, tren berkenaan akan berlepas pada 29 April ini, pada jam 11 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat.
Katanya, perkhidmatan tren itu dijangka akan tiba di Stesen Tumpat pada 30 April, jam 3.55 petang manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei, jam 10.50 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 8 Mei, jam 3.04 petang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, tren khas tersebut merupakan perkhidmatan istimewa dari KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang dengan selesa di samping turut dapat menjimatkan masa.
KTMB turut memaklumkan bahawa tren khas tersebut bakal dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet, dan koc chillax untuk aktiviti solat atau moreh beramai-ramai.
Tiket bagi perkhidmatan khas itu akan mula dijual pada 15 April ini dengan harga bermula daripada RM55.00 sehingga RM83.00 bagi perjalanan sehala dan penumpang tren perjalanan tersebut akan turut menerima cenderahati khas.
Dalam pada itu, KTMB turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan dengan 4,368 tiket berikutan permintaan yang tinggi sempena musim perayaan kali ini.
Pertambahan itu melibatkan perjalanan KL Sentral- Padang Besar dan sebaliknya bagi tarikh 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei.
"Perkhidmatan tambahan ini adalah berikutan status jualan tiket yang telah habis dijual bagi tarikh-tarikh yang dinyatakan. Jualan tiket bagi tren tambahan ini akan mula dijual pada 15 April.
"Pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” menurut kenyataan itu.
KTMB juga memaklumkan bahawa syarikat itu akan tetap memastikan agar semua penumpangnya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 walaupun negara telah dalam proses peralihan ke fasa endemik.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan perkhidmatan KTMB boleh dilakukan dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB.