SUNGAI BULOH - Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai melanggar belakang sebuah kereta dalam satu kejadian yang berlaku di KM 21.6 (B) arah Selayang-Ijok hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penunggang motosikal berusia 22 tahun itu dipercayai melanggar kereta terbabit yang sedang mengundur di lorong kecemasan.
Iklan
Iklan
Berikutan pelanggaran itu, Shafa'aton berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala.
"Penolong Pegawai Perubatan Wan Aisamuddin dari Klinik Kesihatan Kuang mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 12.30 tengah hari," katanya.
Dalam pada itu, Shafa'aton berkata, pemandu kereta terbabit didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, lorong kecemasan dan perlahan ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan untuk proses siasatan.
"Aliran trafik bergerak lancar di lokasi dan hanya lorong kanan dibuka untuk lalu lintas," katanya.