SEMPORNA - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mahu mengulangi tindakan seperti Langkah Sheraton kerana ia tidak membawa kepada penyatuan sebaliknya akan menyebabkan ketidakstabilan politik negara.
Pendiriannya itu telah pun dimaklumkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau dihubungi bagi membentuk kerjasama dalam politik.
"Selepas dia (Muhyiddin) menyatakan niat dia (melalui panggilan telefon), saya beritahu tidak apa, jangan libatkan. Saya lihat itu satu langkah yang tidak harus dilakukan lagi kerana kita sedar bahawa ia sudah dilakukan lebih awal melalui Langkah Sheraton.
"Langkah itu bukannya langkah-langkah yang boleh membawa penyatuan. Lihatlah akibat yang kita nampak pada hari ini, di mana keadaan politik negara tidak begitu stabil," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis iftar bersama golongan asnaf miskin bagi Parlimen Semporna, di Masjid Inabah Kamal, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kerjasama dengan parti lain dan sebelum ini beliau menolak untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Ahli Parlimen Semporna itu lagi, kesannya dapat dilihat apabila bukan saja rakyat malah pelabur juga tidak yakin dengan keadaan ketika ini.
"Cukup jelas sehingga bukan hanya keyakinan rakyat tetapi di luar negara. Bukan hanya pemimpinnya, bukan hanya pelabur-pelabur yang ada ini membimbangkan kita dan (mereka) banyak bergantung kepada kita selaku pemimpin.
"Kalau rakyat itu memilih pemimpin yang boleh dilihat sebagai satu pimpinan yang baik, maka ia akan dapat menyatukan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shafie menegaskan bahawa biar rakyat yang tentukan keadaan dan bukannya tindakan ahli politik yang cuba menyertai parti lain.
"Saya katakan pada Tan Sri (Muhyiddin), lupakan saja. Saya tidak akan bekerjasama yang boleh menjejaskan lagi keadaan ketidakstabilan negara kita.
"Baik rakyat yang menentukannya, bukan ahli politik yang menentukan masuk sana, masuk sini, yang akhirnya boleh menjejaskan ketidakstabilan negara," katanya.