KOTA BHARU - Seorang ibu tungggal dari Kampung Tanjong Baru, Taman Buaya di sini menjual kuih-muih pada harga RM1 sepeket bagi membantu meringankan beban penduduk setempat yang dilihat masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Siti Maimunah Deraman, 64, berkata, walaupun berdepan kenaikan harga bahan mentah seperti gula, tepung, beras pulut dan lain-lain namun dia tetap mahu mengekalkan harga tersebut.
"Saya mula berniaga kuih-muih di bulan Ramadan sejak Covid-19 melanda dua tahun lalu selepas kedai makan tidak dapat beroperasi.
"Pada waktu itu saya lihat ramai yang terkesan dengan pandemik tersebut dan dari situlah saya dan anak-anak mendapat idea untuk berniaga kuih-muih dengan harga RM1," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut ibu kepada lapan orang anak itu, terdapat lebih 20 jenis kuih-muih yang dibuat sendiri oleh dia dengan bantuan anak-anak.
Katanya, antara kuih tersebut ialah agar-agar, buah melaka, seri muka, kek batik dan bermacam-macam lagi.
Siti Maimunah berkata, ramai pelanggannya yang meluahkan rasa terkejut apabila mendapat tahu harga kuih-muih yang dijual hanya RM1.
"Saya hanya tersenyum dan memberitahu ini semua untuk infak selain daripada meneruskan perniagaan seperti biasa.
"Seronok bila tengok pelanggan dapat menikmati hidangan dengan harga yang murah sebab tidak semua dikalangan kita yang berkemampuan lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi sekarang," katanya.
Menurutnya, jualan kuih-muih tersebut bermula pada jam 3 petang dan tidak sampai dua jam ia laris dijual.