GERIK - Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa langgar lari ditemui dalam keadaan mengerikan dengan bahagian badan hancur di Kilometer 19, Jalan Raya Timur- Barat (JRTB) Gerik - Jeli di sini pada Khamis.
Mayat tanpa identiti itu dijumpai di atas jalan, laluan menghala ke Gerik sekitar jam 8 pagi oleh orang awam sebelum melaporkan kepada polis.
Mangsa mengalami kecederaan parah di keseluruhan bahagian badan dipercayai digilis kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat yang dipercayai seorang pejalan kaki.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.