Gudang buah-buahan import terbakar, kerugian cecah RM1 juta

Iklan
Keadaan gudang buah-buahan milik Mohd Latif di Jalan Sungai Pasir, Sungai Petani yang musnah terbakar dalam kejadian tengah malam Rabu.

SUNGAI PETANI - Sebuah gudang menyimpan buah-buahan di Jalan Sungai Pasir di sini terbakar dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah malam Rabu membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta.

Pemilik gudang, Mohd Latif Osman berkata, kejadian menyebabkan sebahagian daripada 2,000 kotak buah-buahan import yang disimpan di gudang terbabit, musnah dalam kebakaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebahagian besar stok buah tersebut seperti epal, anggur dan oren baharu dihantar pada Selasa pagi dan petang dan belum sempat diagihkan kepada pemborong dan peruncit.

"Hiba melihat keadaan gudang yang dibina kira-kira 15 tahun lalu musnah sekelip mata.

Iklan

"Bagaimanapun, kami terima ujian ALLAH Taala dalam bulan mulia ini," katanya.

Sementara itu, pekerja gudang, Mohd Zaini Osman, 45, yang bermalam di situ sempat menyelamatkan diri.

Iklan

"Saya tengah berehat dan menunggu untuk makan sahur.

Mohd Latif hiba mengenangkan gudang yang dibina kira-kira 15 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Pasir, Sungai Petani tengah malam Rabu.

"Secara tiba-tiba dengar bunyi 'prap' beberapa kali, ingatkan kena pecah masuk, rasa seperti orang tengah berjalan, bila buka sahaja pintu bilik, terkejut masa tu nampak api tengah marak dan terus lari keluar," jelasnya.

Menurut Mohd Zaini, perasaan cemas dan trauma masih terasa mengenangkan keadaan api yang memenuhi keseluruhan bahagian gudang semasa kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim berkata, peratusan kemusnahan gudang buah-buahan mencecah 90 peratus.

Menurutnya, kebakaran turut melibatkan sebuah kedai spa kecantikan yang terletak bersebelahan, dengan peratus kemusnahan hampir 60 peratus.

Keadaan buah limau yang hangus akibat kebakaran di Jalan Sungai Pasir, Sungai Petani tengah malam Rabu.

"Kebakaran turut melibatkan tiga buah motosikal rentung," katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada jam 12.07 tengah malam dan pasukan dari BBP Tikam Batu dan BBP Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tindakan pemadaman menggunakan empat aliran empat pancutan dari air tangki jentera serta bantuan air dari jentera pasukan bomba sukarela berdekatan.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.31 tengah malam," katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat, bagaimanapun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.