JPN Bintulu digesa atasi masalah permohonan MyKid

Iklan
Tiong King Sing

BINTULU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Bintulu digesa agar segera mengatasi masalah permohonan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid).

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataan pada Khamis berkata, proses permohonan secara manual yang ada sekarang menyukarkan orang ramai dan mereka terpaksa menunggu lama untuk dokumen itu disiapkan.

Iklan
Iklan

Katanya, penduduk perlu mengisi borang permohonan di JPN Cawangan Bintulu sebelum borang itu dihantar untuk diproses di ibu pejabat JPN di Kuching dan dikembalikan ke JPN Cawangan Bintulu apabila siap dan dapat diambil pemohon.

Bagi yang ingin membuat permohonan segera, mereka perlu pergi sama ada ke JPN Kuching, JPN Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, JPN UTC Sibu atau JPN UTC Miri.

Iklan

"Fahamilah denyut nadi rakyat yang terpaksa mendapatkan perkhidmatan di lokasi yang jauh jaraknya dari kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri bertaraf menteri ke China itu, turut menggesa JPN Cawangan Bintulu supaya mengatasi perkara itu dengan segera termasuk masalah di bahagian pendaftaran, menambah baik kekurangan yang ada, memastikan mekanisme teratur dilaksanakan serta menangani isu kekurangan kakitangan.

"Dalam masa sama, saya juga akan membangkitkan perkara ini untuk perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin,” kata Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.

Iklan

Difahamkan, JPN Bintulu pernah memohon peralatan komputer dan mesin bagi membuat MyKid, namun kelulusan diberikan kepada cawangan JPN yang beroperasi di UTC.

Sebelum ini, perancangan untuk mewujudkan sebuah UTC di bahagian Sibu telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, menyebabkan perkhidmatan membuat MyKid tidak dapat diadakan.

Justeru Tiong berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan semula rancangan untuk mewujudkan UTC di Bintulu demi kepentingan rakyat termasuk menaik taraf JPN cawangan Bintulu. - Bernama