KUALA NERANG - Seramai 30 penghuni Pusat Pengajian Pondok Ahmadiah atau dikenali Pondok Pak Teh Mat, dekat sini menerima sumbangan dan diraikan pasar raya Econsave cawangan Pokok Sena pada Khamis sempena Ramadan.
Menurut Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara satu, Zamzuri Mansor, semua penerima terdiri daripada warga emas yang dipilih oleh pengurusan pondok pengajian tersebut dengan kerjasama Pertubuhan Amal dan Sukarelawan (Puspa) daerah Padang Terap.
"Kita hadir menyampaikan sumbangan Program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) Econsave Prihatin kepada penghuni di sini sempena kehadiran Ramadan.
"Rezeki yang diperolehi dikongsi bersama dan kita berharap warga emas di sini dapat menjalani ibadah dengan sempurna," katanya kepada Sinar Harian selepas menyerahkan sumbangan dan melawat warga emas di Pusat Pengajian Pondok Ahmadiah, dekat sini pada Khamis.
Hadir sama Pengurus Hal Ehwal Pondok Pusat Pengajian Pondok Ahmadiah, Mohd Najib Ghazali, Pengerusi Puspa daerah Padang Terap, Laily Suraya Md Ja Yah dan Pengurus Econsave Cawangan Pokok Sena, B Devanathan.
Zamzuri berkata, pasar raya tersebut sentiasa berusaha membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dan mereka akan tampil untuk meringankan beban tersebut.
Mohd Najib pula ketika ditemui berkata, pusat tersebut diasaskan tokoh ulama Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad.
Menurutnya, terdapat 80 penghuni dari seluruh negara menetap di pondok- pondok yang dibina dan diwakafkan kepada pusat pengajian berkenaan.
"30 penghuni warga emas terpilih menerima sumbangan daripada Econsave ini membabitkan empat lelaki dan 26 perempuan," ujarnya.
Sementara itu, Laily Suraya berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini, pihaknya akan berusaha fokus membantu semua golongan yang memerlukan tidak kira muda ataupun tua.
"NGO ini ditubuhkan pada awal tahun 2021 dan kini bergerak membantu masyarakat yang memerlukan perhatian terutamanya di daerah Padang Terap.
"Pada tahun ini kita akan mengumpul lebih dana dan bekerjasama dengan mana-mana pihak agar lebih ramai lagi rakyat yang dapat dibantu," katanya.