Geng Belly tumpas, polis rampas dadah bernilai RM40,693

Iklan
Ramli (tengah) bersama timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri (dua dari kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Azmi Awang Lah (dua dari kanan) serta dua lagi pegawai menunjukkan dadah yang dirampas pada Selasa dan Rabu lalu.

KUANTAN - Polis Pahang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali 'Geng Belly' susulan penahanan lima ahli kumpulan itu termasuk ketuanya di sini pada Selasa dan Rabu lalu.

Suspek berusia 24 hingga 46 tahun termasuk dua wanita itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, susulan penahanan kesemua suspek itu, polis merampas dadah jenis heroin, syabu dan pil yaba dengan anggaran berat lebih dua kilogram bernilai RM40,693.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Accord dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y125ZR.

Iklan

"Anggaran nilai keseluruhan barang rampasan termasuk dadah mencecah lebih RM89,600," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.

Ramli berkata, salah seorang ahli sindiket menawarkan sogokan RM80,000 kepada polis sebagai dorongan untuk melepaskan dirinya dan seorang rakan yang ditahan bersama dadah itu di sini pada Selasa lalu.

Iklan

"Suspek berusia 30 dan 42 tahun yang ditahan di sebuah rumah tumpangan bertindak sebagai 'runner' dan penjaga stor menyimpan dadah milik sindiket diketuai suspek lelaki berusia 46 tahun," katanya.

Ramli berkata, melalui kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketua sindiket berjaya ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah di sini pada awal pagi Rabu.

Katanya, lelaki tersebut datang ke lokasi itu untuk menyerahkan sebahagian wang sogokan bagi melepaskan dua rakan yang ditahan.

"Susulan penahan lelaki tersebut, pihak SPRM merampas wang tunai RM45,000," katanya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai bergiat aktif mengedar dadah di kawasan Felda di negeri ini terutama sekitar kawasan Rompin sejak lebih setahun lalu.

"Dadah tersebut dipercayai diperoleh sekitar Johor dan Lembah Klang.

"Bekalan dadah yang dibawa masuk dipercayai diserahkan kepada dua suspek yang bertindak sebagai 'runner' untuk diedarkan dan dibekalkan kepada penagih," katanya.

Ramli berkata, semakan mendapati salah seorang suspek wanita merupakan isteri kepada ketua sindiket dan seorang lagi merupakan rakan wanita itu.

"Kedua-dua wanita itu ditahan ketika ditugaskan untuk memantau sebuah bilik sewa di Jalan Beserah yang dijadikan stor simpanan," katanya.

Katanya, empat suspek ditahan reman sehingga 19 April depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seorang lagi suspek diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009," katanya.