Warga emas ada komorbid boleh ambil dos penggalak kedua

Iklan
Warga emas yang mempunyai komorbid berisiko tinggi diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak kedua. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Warga emas yang mempunyai komorbid berisiko tinggi ditawarkan untuk mendapatkan dos penggalak kedua.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dos penggalak kedua itu boleh diberikan dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini dibuat selepas Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) meneliti kajian-kajian saintifik serta kajian kohort Malaysia yang menunjukkan bahawa individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetes berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius serta kematian akibat Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Iklan

Menurut Khairy, TWG turut memberi saranan terhadap individu imunokompromi (imunisasi lemah) sederhana atau teruk berumur 12 tahun ke atas.

"Mereka boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua," katanya.

Iklan

Beliau berkata, individu berumur 60 tahun ke atas yang telah lengkap mengambil dos penggalak dan didapati mengalami jangkitan Covid-19 layak menerima dos penggalak kedua, tiga bulan selepas mereka pulih sepenuhnya.

"Dos penggalak kedua ini adalah pilihan dan tidak diwajibkan. Syor tersebut juga termasuk golongan warga emas yang berada di bawah fasiliti penjagaan jangka panjang.

"Bagi Individu yang berumur 60 tahun ke atas yang sihat dan tidak mempunyai komorbiditi berisiko tinggi, mereka perlu berbincang dengan pengamal perubatan bagi mengesyorkan pengambilan dos penggalak kedua berdasarkan pertimbangan," katanya.

Khairy berkata, buat masa ini vaksin mRNA Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech adalah yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik tersedia.

"Negara mempunyai bekalan 5.6 juta dos Pfizer dan ini mencukupi untuk menampung dos penggalak kedua kerana kita rasa tidak ramai yang layak," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan syor terbaharu itu tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut.

"KKM kini sedang mengemaskini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan perlaksanaan tersebut.

"KKM juga menerima permohonan individu yang ingin ke luar negara bagi memperoleh dos penggalak kedua untu memenuhi keperluan sesebuah negara.

"Sebagai contoh, terdapat sesetengah negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinopharm sebagai dos primer dan dos penggalak," katanya.

Justeru katanya, individu yang ingin ke negara tersebut boleh diberikan dos penggalak kedua selepas selang masa sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama bagi memenuhi keperluan itu.

Sementara itu, Khairy berkata, KKM sedang mengagihkan 104,700 kotak ubat antiviral, Paxlovid ke fasiliti kesihatan kerajaan.

"Setakat ini, penghantaran telah dilakukan ke 14 buah hospital di setiap negeri kecuali Sabah dan Sarawak ke stor logistik farmasi negeri masing-masing.

"Penghantaran ke Sabah dan Sarawak akan dilakukan pada Jumaat. Semua penghantaran ini melibatkan 481 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) klinik kesihatan dan 15 buah hospital kerajaan," katanya.

Jelasnya, pesakit Covid-19 yang hadir ke CAC atau hospital kerajaan akan disaring oleh pegawai perubatan berdasarkan jumlah skor bagi kriteria yang telah ditetapkan sebelum dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.

"Pesakit yang diberikan skor tiga dan ke atas diberikan keutamaan untuk rawatan antiviral. Keutamaan kepada pesakit warga emas, pesakit dengan pelbagai komorbid dan immunocompromised," katanya.