Konsep WTE mampu kurangkan tapak pelupusan sampah

Iklan
Zuraida (tiga, kanan) mendengar penerangan Ir Mhd Saiful Anuar (dua, kiri) berhubung operasi mesin pengasingan dan pemprosesan sampah.
JITRA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited melaksanakan konsep ‘waste to energy (WTE) atau sisa kepada tenaga dalam usaha mengurangkan tapak pelupusan sampah, selain memupuk budaya kitar semula kalangan penduduk.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, konsep itu akan digiatkan dalam tempoh dua tahun akan datang untuk membentuk komuniti lestari di negara ini.

Menurutnya, konsep itu juga selari dengan Dasar Komuniti Negara (DKN) dalam menerapkan nilai-nilai baik agar masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap komuniti masing-masing.

"Kita sedang berusaha untuk beralih daripada penggunaan tapak pelupusan sampah kepada WTE, termasuk meningkatkan program kitar semula dan program jana ekonomi menerusi program menukar sampah kepada wang,” katanya, selepas merasmikan Pusat Komuniti Lestari di Taman Tunku Sarina, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Syarikat E-Idaman Sdn Bhd, Ir Mhd Saiful Anuar Zainal.

Zuraida berkata, untuk merealisasikan konsep itu, semua pihak perlu bekerjasama dengan mengasingkan sisa makanan dan botani di peringkat komuniti, sebelum lebihan sampah lain dihantar ke tapak pelupusan.

"Masyarakat perlu menyedari kepentingan menguruskan sampah khususnya sisa makanan dan botani, yang boleh dijadikan pendapatan setelah ia diproses menjadi biogas dan baja,” katanya.

Menurutnya, jika dilaksanakan dalam skala besar, ia turut mampu menghasilkan tenaga elektrik.

Zuraida berkata, Pusat Komuniti Lestari yang diperkenalkan syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd antara usaha terbaik mendidik masyarakat mengenai kepentingan menguruskan sampah di komuniti masing-masing.

"Selepas sampah diasingkan dan diproses di pusat ini, baki sisa yang tinggal antara 30 hingga 10 peratus sahaja yang perlu dihantar ke tapak pelupusan, ini dapat mengurangkan perbelanjaan operasi,” katanya.

Menurutnya, KPKT berharap setiap taman perumahan mempunyai sebuah pusat seumpama bagi memproses sisa buangan untuk dijadikan bahan lain yang boleh dimanfaatkan.

"Saya sarankan Pusat Komuniti Lestari yang juga pertama dibina dalam negara ini turut diadakan di semua kawasan perumahan terutama B40 untuk jana pendapatan selain terapkan budaya menjaga harta benda dan persekitaran bersih,” katanya.