KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji kes jangkitan semula Covid-19 dalam tempoh 20 hari selepas jangkitan pertama terutamanya golongan muda.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jangkitan semula itu dikesan menjadi trend di Denmark dan United Kingdom serta Amerika Syarikat (AS) pada masa ini.
"Memang ada kes seperti ini dan pegawai saya pun (turut dijangkiti semula) dan kita sedang meneliti sama ada perkara ini dapat dicegah," katanya.
Menurutnya, setakat ini tiada vaksin yang mampu mencegah jangkitan semua Covid-19.
"Tetapi kebanyakan mereka yang dijangkiti semula dalam tempoh tersebut hanya mengalami gejala sederhana dan perlu isolasi," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai trend jangkitan semula dalam tempoh singkat selepas jangkitan pertama yang sedang berlaku di negara ini.
Sebelum ini, KKM berkata, pesakit Covid-19 tidak akan dijangkiti semula dalam tempoh tiga bulan bergantung kepada tindak balas antibodi yang terdedah kepada virus SARS-CoV-2.
Khairy berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan di Denmark, seramai 17 daripada 64 individu yang mengalami jangkitan semula adalah menerusi sub varian (sublineage) Omicron jenis BA.1.
"Selebihnya adalah sub varian Omicron jenis BA.2," katanya.
Ujarnya, penjujukan genom yang dijalankan mendapati sub varian Omicron jenis BA.2 mendominasi negara menggantikan sub varian yang lain.
"Keberadaan sub varian BA.1.1 dan BA.2 di persekitaran boleh memberi risiko kepada varian baharu pada masa yang sama," katanya.
Ujarnya, setakat ini varian XE yang dilapor mudah berjangkit berbanding Omicron masih belum dikesan di negara ini.
Pada perkembangan sama, Khairy berkata, individu yang menjadi kontak rapat tanpa mengira status vaksinasi dan tiada gejala tidak perlu menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) berkuat kuasa 22 April ini.
Menurutnya, dalam tempoh lima hari dari hari terakhir pendedahan kepada kes positif Covid-19, kontak rapat tersebut hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah, elakkan berada di tempat sesak dan melawat kumpulan berisiko tinggi.
"Pastikan pengudaraan yang baik dan hanya membuat perjalanan penting sahaja," katanya.
Bagi kontak rapat bergejala pula, beliau berkata, individu tersebut dinasihatkan untuk melakukan kuarantin kendiri dan digalakkan menjalani ujian RTK-Ag kendiri pada hari gejala bermula (onset) dan pada hari ketiga.
"Jika mana-mana keputusan ujian RTK-Ag adalah negatif dan gejala berkurangan, kontak rapat boleh melakukan aktiviti-aktiviti luar," katanya.
Tambah Khairy, KKM sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes semasa dalam fasa peralihan endemik dan akan terus memantau pelaporan kes jangkitan varian-varian baharu dalam dan luar negara.
"KKM juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima serta mengelakkan gejala jangkitan teruk serta komplikasinya," katanya.