SHAH ALAM - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar membangkitkan tiga persoalan berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera ketika menghadiri Mesyuarat Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen.
Menurutnya dalam satu hantaran di Facebook, antaranya adalah sejauh mana perlindungan kepada peribadi rakyat dan kebimbangan pengkomersilan data rakyat termasuk data yang identitinya dirahsiakan.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan memuktamadkan perjanjian menerusi tender terus dengan syarikat MySJ Sdn Bhd sahaja memandangkan wujud pertikaian antara syarikat MYSJ dan lain-lain di mahkamah yang mungkin menyukarkan proses pembekalan serta perkhidmatan aplikasi MySejahtera.
"Ketiga, adakah data MySejahtera boleh diakses oleh kesemua agensi lain kerajaan yang memungkinkan penggunaannya selain daripada tujuan asal di bawah bidang kesihatan?” soalnya pada Khamis.
Sebelum ini pada 24 Mac lalu, sidang Jawatankuasa PAC telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.
Keputusan kerajaan untuk ‘penyerahan’ itu telah diputuskan oleh kabinet pada 26 November 2021 dan kebenaran telah diberikan oleh kabinet kepada KKM untuk melantik MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme runding terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.
Pada 27 Mac, Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan aplikasi MySejahtera dijual kepada syarikat swasta seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi tersebut untuk pengurusan kesihatan awam negara pada 26 November lalu.
Beliau juga memberi jaminan kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek tersebut tidak dikompromi.