PEMAIN profesional negara Soong Joo Ven berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan Masters Korea, selepas mengejutkan wakil tuan rumah Heo Kwang Hee di Stadium Gwangju Yeonju, Gwangju pada Khamis.
Joo Ven, yang menghuni ranking ke-68 dunia, berjaya mencipta kemenangan straight set 21-11, 21-19 ke atas pemain nombor 30 dunia Kwang Hee dalam perlawanan pusingan kedua perseorangan lelaki yang mengambil masa 40 minit.
Pemain berusia 26 tahun itu, dijadualkan berdepan Misha Zilberman dari Israel pada pusingan suku akhir esok.
Sementara itu, beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mara ke suku akhir selepas mudah menewaskan pasangan dari Israel Misha-Svetlana Zilberman 21-5, 21-8.
Soon Huat-Shevon akan membuat perhitungan dengan Terry Hee Yong Kai-Tan Wei Han dari Singapura, yang menewaskan wakil tuan rumah Kim Young Hyuk-Kim Hye Jeong 22-20, 23-21.
Namun, nasib tidak menyebelahi pilihan kelapan kejohanan Chan Peng Soon-Toh Ee Wei, selepas kalah 18-21, 14-21 kepada Zheng Si Wei-Zhang Shu Xian dari China dalam satu lagi aksi beregu campuran.
Turut terkandas ialah bekas juara dunia remaja Goh Jin Wei, yang tersingkir di pusingan kedua selepas tewas 22-20, 7-21, 12-21 kepada pemain nombor 17 dunia Wang Zhi Yi dari China bagi kategori perseorangan wanita. - Bernama
Lain-lain keputusan:
Beregu lelaki
-------------------
Hiroki Okamura-Masayuki Onodera (JPN) mn Goh V Shem-Low Juan Shen 16-21, 21-14, 24-22
Choi Solgyu-Kim Wonho (KOR) mn Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong 21-17, 9-21, 21-13