Lawrence Wong ketuai 4G, buka laluan sebagai bakal PM Singapura

Iklan
Lawrence Wong

SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada Khamis mengumumkan para menteri republik itu memilih Menteri Kewangan semasa Lawrence Wong sebagai Ketua Pasukan Generasi Keempat (4G) yang baharu.

Pelantikan itu membuka laluan kepada Wong, 49, untuk menjadi Perdana Menteri Singapura berikutnya.

Iklan
Iklan

Lee yang merupakan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam laman Facebook rasminya berkata Wong menerima sokongan padu daripada kalangan menteri semasa proses rundingan yang dikendalikan oleh Pengerusi PAP Khaw Boon Wan.

Perdana Menteri berkata Khaw, telah memberi taklimat kepada para menteri petang tadi dan mereka mengesahkan ia sebagai keputusan kolektif.

Iklan

"Pilihan itu kemudiannya dibentangkan dan disahkan oleh ahli Parlimen kerajaan pada satu kaukus parti.

"Keputusan ini adalah penting bagi Singapura. Ia akan memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan yang merupakan ciri sistem kami,” tulis Lee.

Iklan

Lee seterusnya menambah"hak untuk memimpin tidak diwarisi."

"Ia perlu diperoleh semula oleh setiap generasi pemimpin. Singapura akan sentiasa memerlukan pasukan yang kuat dan bertanggungjawab, dengan pemimpin yang boleh menyatukan orang lain dan mencungkil yang terbaik daripada setiap ahli pasukan.

"Saya yakin Lawrence dan pasukannya akan terus memberikan yang terbaik untuk Singapura dan rakyatnya,” tulis beliau.

Dalam satu kenyataan penuh berasingan, Lee berkata:"Dengan keputusan itu, Perdana Menteri akan membuat pelarasan pada barisan kabinet. Ini akan diumumkan dalam masa terdekat.”

Sementara itu, dalam reaksi pantasnya, Wong berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Saya berterima kasih atas kepercayaan dan keyakinan rakan sekerja, yang memilih saya untuk memimpin mereka. Saya juga amat berterima kasih atas sokongan rakan-rakan ahli Parlimen,” tulisnya di Facebook.

Menurut Wong, sejak awal 1959, model kepimpinan politik Singapura tidak terhad kepada individu, sebaliknya melibatkan pasukan.

"Setiap daripada kita menyumbang, saling melengkapi, dan memberikan yang terbaik kepada Singapura,” tulisnya.

Wong menyatakan rakan-rakannya dalam kepimpinan 4G saling berganding bahu untuk memerangi Covid-19.

Pengalaman dua tahun lalu telah mengukuhkan"kesepaduan dan tekad kami untuk mengurus Singapura menghadapi krisis ini dengan selamat dan yang lain," kata Wong.

"Adalah satu penghormatan untuk dipilih untuk memimpin pasukan ini. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memikul tanggungjawab ini. Seperti yang kita sering diingatkan, hak untuk memimpin tidak diwarisi.

"Bersama-sama dengan pasukan 4G yang lain, saya akan terus berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan sepenuh hati dan berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan setiap warganegara,” tulisnya lagi. - Bernama