KUALA LUMPUR - Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan industri telekomunikasi tempatan penting dalam meningkatkan kecekapan kesalinghubungan rangkaian 4G melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi Telecommunications, Joachim Rajaram berkata, kerjasama tersebut berupaya meluaskan liputan internet, sekali gus menaik taraf rangkaian 4G di semua kawasan termasuk bandar, pinggir bandar, luar bandar dan kawasan terpencil di negara ini.
"Faedah kegunaan rangkaian 4G dapat menggunakan keperluan audio, video, perbankan dalam talian dan pelbagai lagi. Ia boleh disokong oleh rangkaian 4G dengan lebih mantap,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘3G-4G: Memperkasa Rangkaian, Memanfaatkan Rakyat’, malam Khamis.
Sementara itu, Joachim berkata, dengan menggunakan portal Jendela Map, pengguna dapat memilih rangkaian telekomunikasi sedia ada di Malaysia melalui portal itu yang menunjukkan kualiti perkhidmatan setiap rangkaian.
Selain itu, beliau berkata, cabaran syarikat telekomunikasi adalah untuk mereka membentuk rangkaian yang dapat memberikan perkhidmatan sempurna untuk rakyat.
Katanya, usaha untuk meningkatkan sistem telekomunikasi sukar untuk tercapai kerana sistem telekomunikasi adalah kerja berterusan yang sedang dijalankan susulan permintaan tinggi daripada pengguna.
Pelan Jendela dilancarkan pada Ogos 2020, adalah langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G dan ia adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa. - Bernama