Kedah bakal menjadi negeri berdaya saing

Iklan
Dr Ismail Salleh (kiri) dan Mohd Asmirul Anuar.

ALOR SETAR - Projek-projek mega berjumlah lebih RM3 bilion yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk Kedah dijangka mampu memacu negeri ini untuk keluar sebagai sebuah negeri berdaya saing.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, tujuh projek mega dan projek kecil lain dilihat mampu memberi impak kepada kawasan luar bandar berhampiran seperti Baling dan Sik yang berdekatan dengan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bernilai RM1.6 bilion.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengumuman beberapa projek lain seperti pemberian kad pintar iaitu Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) kepada seramai 5,482 ketua isi rumah bernilai RM400 hingga RM500 sebulan juga dilihat mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

"Sudah tentu projek-projek ini akan memberikan kesan positif jangka masa panjang buat daerah-daerah luar bandar seperti Baling dan Sik walaupun ada projek-projek mega ini terletak di Kulim kerana daerah-daerah ini berdekatan.

Iklan

"Selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), projek lain seperti pembinaan Hab Taman Industri Pembuatan dan Logistik di Kulim (RM300 juta) juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan juga daerah-daerah sekitar," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Dr Ismail, kelulusan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat itu adalah selepas mengambil kira keadaan ekonomi negeri tersebut yang sedikit ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di utara seperti Pulau Pinang dan Perak.

Iklan

"Pengumuman projek-projek ini bersesuaian dengan keadaan negeri ini. Contoh KXP, ada yang sindir kata Kedah sudah ada tiga lapangan kapal terbang, baik dana tersebut diberikan atasi masalah air.

"Sebenarnya ia adalah lapangan terbang kargo yang diusahakan oleh pihak swasta. Kesannya ia akan mewujudkan jaringan jalan raya untuk kawasan-kawasan sekitar dalam fasa-fasa berikutnya sehingga Baling dan Sik," katanya.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, beliau percaya sektor pelancongan bakal meningkat dengan adanya jaringan jalan raya yang lebih baik.

Sebagai contoh Lebuh Raya Koridor Utara iaitu yang menghubungkan Bandar Baharu-Sungai Petani dan Sungai Petani-Jambatan Sultan Abdul Halim bernilai RM1.7 bilion mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong dari Pulau Pinang dan Perak ke negeri ini.

"Kuasa beli juga akan semakin meningkat dengan jumlah kehadiran pelancong tempatan dari negeri lain mahupun pelancong antarabangsa dan impak positifnya mampu membantu para usahawan secara tidak langsung," katanya.

Dalam pada itu, pembinaan Perpustakaan Digital di Alor Setar bernilai RM15 juta juga dilihat mampu menjadi satu daya tarikan baharu di bandaraya tersebut seiring perkembangan teknologi maklumat pada hari ini.