Isu kerjasama, usaha Muhyiddin disifatkan tepat pada masa

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

JITRA - Usaha yang digerakkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencari titik persamaan bersama pihak lain bagi memastikan kestabilan politik dapat dikembalikan selain integriti dalam urus tadbir negara terpelihara tepat pada masanya.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bekas Perdana Menteri itu sentiasa membuka ruang perbincangan dan aktif mencari penyatuan dalam kalangan pemimpin parti politik bagi mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

"Sebab itu saya rasa apa yang disebut Tan Sri Muhyiddin (berhubung soal kerjasama) kena pada masanya. Ini juga menunjukkan keikhlasannya sebagai seorang tokoh, bekas Perdana Menteri tetapi beliau tidak segan silu mengusahakan secara aktif untuk mendapat kesatuan dan perpaduan tersebut.

"Beliau tidak ada rasa ego, sombong, rasa orang lain kena jumpanya, beliau tidak boleh jumpa orang.

Iklan

"Sikap sebegini menunjukkan keikhlasan untuk memastikan kestabilan politik dalam negara dapat dikembalikan dengan prinsip integriti dapat dijaga dalam urus tadbir negara,” katanya pada sidang akhbar pada petang Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Ketua Penerangan Bersatu Malaysia bersama Kelab Media Elit Kedah, di Jitra, dekat sini.

Iklan
Wan Saiful Wan Jan

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, semua pihak yang mempunyai pendapat sama dengan Presiden Bersatu perlu menyahut seruan berkenaan selain mengetepikan dahulu perbezaan demi kepentingan dan kestabilan politik tanah air.

Menurutnya, kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pertemuan Muhyiddin bersama beliau sebelum ini bertujuan meraih sokongan untuk kembali menjadi Perdana Menteri adalah pandangan parti tersebut.

"Bagi saya sebelum kita bercakap soal Perdana Menteri, kita cakap pasal kesatuan dulu. Ini pertelagahan pun tak habis, masing-masing nak bergaduh antara satu sama lain, nak sibuk mengenai Perdana Menteri, bagi saya kita selesaikan satu-satu dahulu,” ujarnya.

Pada Khamis, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak bersependapat bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada PRU15.

Sebelum ini, Muhyiddin dilapor mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir bagi mengemukakan cadangan gabungan parti.

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu, Muhyiddin berkata, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan pandangan supaya parti selain Barisan Nasional (BN) merintis satu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15.