IPOH - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung ketika ini menyaksikan seramai 10 ketua cabang di Perak menang tanpa bertanding.
Difahamkan cabang tersebut ialah Tanjung Malim, Gopeng, Kampar, Beruas, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Bagan Serai, Larut dan Ipoh Barat.
Antara yang berjaya mengekalkan jawatan mereka termasuklah Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boon Chye kekal sebagai Ketua PKR Cabang Gopeng; Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran sebagai Ketua PKR Cabang Ipoh Barat; Naib Pengerusi PKR Perak, Baldip Singh mempertahankan Ketua Cabang Kampar dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang mempertahankan Ketua PKR Cabang Tanjung Malim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri juga turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar.
Sementara itu Tinagaran berkata, keputusan tersebut memperlihatkan persefahaman dan penyatuan yang kuat dalam kalangan pimpinan di peringkat cabang untuk memastikan mereka kuat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Persefahaman dan penyatuan di peringkat cabang ini merupakan legasi yang ditinggalkan pengerusi PKR terdahulu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. Beliau berjaya menyatukan PKR Perak.
"Kami yakin semangat yang ditunjukkan ini akan membantu PKR Perak untuk menghadapi PRU15 sebagai satu pasukan yang kuat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau yang turut bertanding jawatan Naib Presiden PKR berkata, pemilihan kali ini juga turut menampilkan 70 peratus muka baharu memegang jawatan di peringkat cabang.
Menurutnya, senario itu sesuatu yang baik apabila tenaga baharu memperkuatkan kepimpinan di peringkat cabang untuk menghadapi PRU15 tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Perak, Abd Rahim Sabli mengesahkan beberapa cabang di negeri itu menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan ketua cabang.
Menurutnya, bagaimanapun jumlah rasmi masih belum dapat dimuktamadkan kerana masih ada proses-proses teknikal pencalonan yang berjalan.
Katanya, secara keseluruhan proses pencalonan di Perak berjalan dengan baik walaupun dilaksanakan secara dalam talian.