PETALING JAYA - Orang ramai dikehendaki membuat aduan sekiranya terdapat klinik menjual dan membuat ujian kit saringan pantas RTK antigen dengan harga yang tinggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi membolehkan pihak penguat kuasa melakukan pemantauan dan tindakan sekiranya didapati bersalah.
"Harga siling RTK antigen ini di mana-mana hanya RM19.90. RM16.90 pula untuk borong.
"Kalau di klinik, ia juga sepatutnya kena jual harga yang ditetapkan. Kalau mana-mana kedai yang menjual, tidak boleh lebih dari ini. Kalau ada aduan memang kita akan jalankan tindakan,” katanya pada malam Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Program Santai Moreh bersama Kelab Wartawan Kuala Lumpur, Selangor di sini.
Pada Khamis, tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat harga ujian RTK antigen di klinik-klinik swasta dianggap tinggi dan membebankan pengguna yang tergolong dalam kumpulan tersebut.
Tinjauan di 10 klinik swasta sekitar Lembah Klang yang menawarkan ujian RTK antigen (hidung sahaja) mendapati adanya klinik yang menawarkan harga ujian serendah RM39 sehingga RM180.
Harga purata yang dikenakan adalah antara RM60 dan RM70 bagi setiap ujian yang dibuat. Namun, terdapat klinik yang menawarkan potongan harga antara RM5 hingga RM10 bagi mana-mana individu yang datang melakukan ujian serentak sekurang-kurang bersama lima orang.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kemungkinan di sesebuah klinik tersebut meletakkan harga yang tinggi disebabkan caj perkhidmatan.
Katanya, klinik yang meletakkan harga berlebihan ini, kemungkinan disebabkan harga servis yang mahal.
"Namun begitu, sekiranya didapati sesebuah premis tidak mengikut harga siling penjualan RTK antigen, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikenakan.
"Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
"Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.