'Pulanglah Fatihah, Amira... mak rindu'

Iklan
Nurul Fatihah Balqis, Nurul Amira

JELEBU - Sepasang suami isteri di Felda Pasoh 1 di sini bimbangkan keselamatan dua anak perempuan mereka yang tidak pulang ke rumah sejak 27 Mac lalu.

Nurul Fatihah Balqis Musli, 14, dan Nurul Amira Musli, 19, keluar dari rumah dipercayai mengikut teman lelaki selepas dimarahi sehari sebelum itu.

Iklan
Iklan

Saodah Salleh, 44, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari kedua-dua anaknya itu namun sehingga kini masih belum dapat dijejaki.

"Laporan polis dah dibuat dan saya pun dah masukkan di media sosial, tapi tak dapat apa-apa berita lagi tentang mereka.

Iklan

"Saya risau sangat jika berlaku kejadian tidak diingini kerana mereka perempuan dan Nurul Fatihah Balqis pula masih bersekolah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, Nurul Amira ada meninggalkan nota di bilik yang memberitahu tidak mahu lagi pulang ke rumah.

Iklan

Saodah mengakui yang dia ada memarahi kedua-dua anaknya kerana mengambil cermin mata kakaknya.

"Mungkin cara percakapan dan teguran saya agak kasar waktu itu. Lagipun saya penat bekerja. Tapi sebagai seorang ibu semuanya untuk kebaikan mereka.

"Saya pun ada belikan motosikal sebagai hadiah hari lahir Nurul Fatihah Balqis pada 3 April lalu, tapi saya tak dapat nak beri kejutan itu pada dia," katanya.

Malah Saodah juga terpaksa membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan kerana terlalu tertekan memikirkan kedua-dua anaknya itu.

Ujarnya, pernah beberapa kali terlibat kemalangan kerana fikirannya terganggu.

"Nurul Fatihah Balqis, mak minta sangat baliklah kerana mak rindu sangat dengan kamu. Masa kamu masih panjang, habiskan dulu sekolah demi masa depan.

"Nurul Amira pula jika nak hidup sendiri di luar, beritahu mak dulu supaya mak tahu kamu di mana. Jangan buat macam ini," katanya.