PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih kepada partinya kerana mencalonkan dirinya sebagai perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.
Iklan
Iklan
"Saya ucapkan terima kasih kepada presiden (Ahmad Zahid), timbalan presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), ‘Top Five’ dan semua ahli MKT kerana secara sebulat suara menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15 jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya nanti," kata Perdana Menteri kesembilan itu.
Semasa ditemui media selepas melancarkan Coopmart dan Coop Community Mart (CCM) Koperasi Pudina Putrajaya Bhd di sini pada Jumaat, Ismail Sabri berkata, keputusan MT UMNO itu jelas menunjukkan parti itu masih bersatu.
"Walaupun macam-macam pihak (kata) ada group dan sebagainya dalam UMNO tetapi keputusan semalam jelas menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan adalah tidak benar kerana UMNO terus kukuh, solidaritinya kuat, jadi tidak ada kem pun dalam UMNO," katanya.
Ismail Sabri bagaimanapun tidak tahu bila PRU15 akan diadakan. - Bernama